Pelepasan Benih Udang Galah di kawasan perairan Sungai Labu, Temburong pada 23 Mei 2026. Program ini merupakan salah satu aktiviti sampingan bersempena Brunei Darussalam Expedition And Conference on Sustaining Our Oceans: Innovation, Governance And Resilience For A Blue Future yang diadakan pada bulan Mei dan Jun 2026.
Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Turut hadir ialah Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar, Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Ketua-Ketua Jabatan dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan wakil dari pelbagai agensi kerajaan.
Program Pelepasan Benih Udang Galah ke dalam perairan Negara ini lazimnya dijalankan sebagai salah satu usaha berterusan Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk memulihkan dan meningkatkan populasi udang galah dalam habitat semula jadi, yang pada masa ini terancam akibat penangkapan berlebihan dan faktor alam sekitar. Udang galah memainkan peranan penting dalam ekosistem air tawar, khususnya dalam mengekalkan keseimbangan rantaian makanan dan kestabilan biodiversiti sungai. Selain menjadi spesies bernilai tinggi, udang galah juga merupakan sumber makanan penting bagi komuniti setempat, khususnya di Daerah Temburong yang mempunyai hubungan rapat dengan sumber perikanan air tawar.
Program ini melibatkan aktiviti pelepasan semula (restocking) benih udang galah yang telah dihasilkan di Jabatan Perikanan ke dalam perairan Negara Brunei Darussalam yang dikenalpasti bersesuaian. Proses pelepasan benih dilaksanakan secara terancang dan saintifik, termasuk pemilihan lokasi yang sesuai, pemantauan kualiti air serta saiz benih yang optimum, bagi memastikan kadar kelangsungan hidup spesies tersebut berada pada tahap yang tinggi setelah pelepasan. Inisiatif ini dapat membantu memelihara keseimbangan ekosistem sungai serta memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan sumber akuatik.
Jabatan ini mensasarkan pelepasan sebanyak 100,000 ekor benih udang galah setiap tahun melalui Program Pelepasan Benih Udang Galah. Sehubungan dengan ini, sebanyak 596,300 ekor benih udang galah telah berjaya dilepaskan ke kawasan perairan Daerah Temburong dan Tutong sejak tahun 2022. Program hari ini pula telah berjaya melepaskan sebanyak 200,000 ekor benih udang galah ke perairan Sungai Temburong.
Program ini dilakukan secara berterusan oleh pihak Jabatan agar populasi udang galah dapat dipulihkan dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti tempatan yang bergantung kepada hasil perikanan sebagai sumber pendapatan dan bekalan makanan. Sehubungan itu, Jabatan Perikanan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Temasek Life Sciences Laboratory (TLL), Republik Singapura telah melaksanakan satu kajian dari tahun 2024 hingga 2025 bagi menilai kepelbagaian serta variasi genetik populasi udang galah di negara ini.
Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa populasi udang galah di perairan Negara Brunei Darussalam masih berada dalam keadaan sihat dari segi genetik. Hasil dapatan ini menunjukkan bahawa inisiatif pelepasan semula benih udang galah yang dilaksanakan adalah selaras dengan matlamat Jabatan dalam memastikan kelestarian sumber perikanan air tawar serta berjaya mengekalkan kepelbagaian genetik populasi udang galah dalam habitat semula jadi.
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perikanan akan terus menyokong amalan lestari serta pemuliharaan sumber marin negara demi generasi akan datang melalui program seumpama ini yang turut mencerminkan komitmen berterusan dalam pemuliharaan sumber akuatik secara mampan.